Majlis Penyerahan Agihan Zakat Cagamas-AIM: Kelengkapan Peralatan Perniagaan Serta Bahan Mentah


Kuang 3 Ogos 2015: satu Majlis Penyerahan Agihan Zakat Cagamas-AIM anjuran Unit Zakat, Wakaf dan Infaq (UZWI) dengan kerjasama Wilayah Selangor/ Kuala Lumpur Utara telah diadakan bertempat di rumah Sahabat Melor binti Gembor, Kampung Melayu Sri Kundang, Selangor. Dua (2) orang Sahabat AIM yang terpilih untuk menerima Agihan Zakat dari Cagamas ialah Sahabat Puan Pauziah binti Aziz dan Sahabat Puan Melor binti Gembor. Sahabat Puan Pauziah binti Aziz menjalankan perniagaan jualan makanan manakala Sahabat Melor binti Gembor pula menjalankan aktiviti perniagaan baulu. Kedua-dua Sahabat ini merupakan Sahabat dari Cawangan Kepong.

Majlis Penyerahan ini dipengerusikan oleh Pengurus Cawangan Kepong, En Adnan bin Hashim manakala bacaan doa selamat pula oleh En Asyraf, Pegawai Amanah Cawangan Kepong. Ucapan aluan serta ringkasan Majlis Penyerahan disampaikan oleh En. Rosli Abdul selaku Pengurus Wilayah Selangor/ Kuala Lumpur Utara. Majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran YBhg. Datuk Hj Yusoff bin HM Haniff, Ahli Lembaga Pengarah AIM. Dalam ucapan, YBhg. Datuk menyeru kepada penerima-penerima Agihan agar terus berusaha untuk memajukan lagi perniagaan serta menghasilkan output yang berkualiti agar hasil pendapatan dapat ditingkatkan. Beliau seterusnya menegaskan bahawa Sahabat haruslah senantiasa menjaga disiplin yang baik dalam menjalankan perniagaan mahupun dalam urusan bayar-balik pinjaman AIM. Selain itu beliau juga mengingatkan Sahabat untuk menabung untuk tujuan awasan serta memenuhi tuntutan keperluan masa hadapan. Majlis diakhiri dengan upacara menandatangani Surat Perakuan Penerimaan Agihan Zakat Cagamas disaksikan YBhg. Datuk Hj Yusoff bin HM Haniff.

Nilai barang modal Perniagaan Nasi Lemak yang diterima oleh Sahabat Puan Pauziah binti Aziz berjumlah RM 4,974.00 manakala nilai barang modal Pemprosesan Bahulu oleh Sahabat Puan Melor binti Gembor pula berjumlah RM RM 3,820.00. Antara peralatan perniagaan yang diterima oleh Sahabat Puan Pauziah binti Aziz adalah bahan mentah, gerai jualan, kanopi serta generator manakala antara keperluan pemprosesan bahulu yang diterima Sahabat Puan Melor binti Gembor adalah bahan mentah, oven (1.2kwatt) serta mesin pengadun. Turut hadir menjayakan majlis tersebut ialah Pn Rahana Abdul Rahman, Pengurus Unit Zakat, Wakaf dan Infaq, Pegawai UZWI, Pegawai Amanah Cawangan Kepong serta Sahabat dari pusat berhampiran. 

Oleh Nur Nadirah binti Mahd Rawe
Unit Zakat, Wakaf dan Infaq