Majlis Penghargaan Pengerusi Lembaga AIM Bersama Kakitangan

Disediakan oleh: Saipul Nizam Mat

     Membawa dulang ke kaki bukit
     Buat menjemur sibuah pala
     Budi tuan bukan sedikit
     Sebanyak rambut di atas kepala

Kepimpinan AIM telah diterajui oleh YH Dato’ Amihamzah Ahmad selama lebih 12 tahun bermula tahun 2001 telah berjaya mengembangkan industri kewangan mikro dengan cemerlang melalui peningkatan prestasi, kecekapan operasi dan penguasaan pasaran.
 
Sebagai menghargai jasa dan sumbangan besar beliau, pihak pengurusan AIM telah menganjurkan “Majlis Penghargaan Pengerusi Lembaga AIM” yang diadakan di tiga (3) lokasi di Semenanjung Malaysia. Di majlis ini, YH Dato’ Pengerusi telah menyampaikan ucapan berupa pesanan yang boleh dilihat sebagai amanat dari beliau kepada kakitangan dan Pengurusan AIM.

Bertempat di Ibu Pejabat AIM, majlis bagi peringkat Ibu Pejabat, Pusat Latihan dan Wilayah Lembah Klang telah diadakan pada 30 September 2013. Seramai 200 orang kakitangan telah hadir  di majlis tersebut, termasuk  Timbalan Pengerusi Lembaga AIM, YBhg Dr. Zubir Harun, Pengarah Urusan AIM, YBhg Datuk Hajah Zabidah Ismail, YBhg Datuk Dr. A. Manaf Husin, Ahli Lembaga AIM serta pengurusan kanan AIM. YH Dato’ Pengerusi  diiringi oleh isteri beliau iaitu YBhg Datin Faridah Mohamad.

Di dalam ucapan aluan Pengarah Urusan, beliau menyatakan bahawa YH Dato’ telah menabur bakti di AIM dengan penuh dedikasi dan cemerlang sepanjang 12 tahun ini. Beliau mengharapkan pengganti iaitu YBhg Dr. Zubir Harun dapat meneruskan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh YH Dato’ selama ini.

Bagi YBhg Dr. Zubir Harun pula, beliau amat kagum dengan gaya kepimpinan YH Dato’ kerana berjaya memimpin AIM sehingga mencapai kejayaan dan menjadi “the best Microfinance Institution in the world’. Beliau juga menyatakan hasrat untuk melantik YH Dato’ sebagai penasihat AIM supaya kesinambungan pandangan dan buah fikiran untuk terus memajukan AIM di masa hadapan.

Di dalam ucapan amanat dan pesanan YH Dato’ Amihamzah Ahmad, beliau mengharapkan AIM perlu melakukan transformasi di dalam pentadbirannya supaya ia terus disegani dan berada di puncak kecemerlangan dan mengharapkan pengganti beliau dapat meneruskan legasi AIM pada masa hadapan.

Pada majlis itu juga, turut diadakan penyampaian cenderahati tanda kenangan kepada YH Dato’ Amihamzah Ahmad oleh Pengurusan dan kakitangan Ibu Pejabat, Pusat Latihan dan Wilayah Lembah Klang.


Carian Laman

Maklumat & Informasi

Logo baru AIM: