Majlis penghargaan dan Iftar Ramadan di Kuala Besut

Disediakan oleh: Tajul Asrul Syah Mokhtar

13 JULAI 2013 - SABTU
Bertempat di Sekolah Menengah Kuala Besut, Terengganu telah berlangsung Majlis Penghargaan dan Iftar Ramadan 1434H. Majlis yang diadakan pada 13 Julai 2013 ini merupakan usaha kolaborasi antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui program Women in Social Enterprise (WISE) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Majlis ini dimulakan dengan tazkirah Ramadan pada pukul 4.30 petang. Tazkirah disampaikan oleh Dr. Shafie bin Hamzah dari Pusat Islam, Universiti Zainal Abidin (UNISZA). Antara inti pati yang disampaikan oleh beliau mengenai kelebihan bulan Ramadan yang disambut semua umat Islam di muka bumi Allah ini. Beliau menyentuh aspek puasa yang dapat mentransformasikan dan merubah status manusia. Tidak kira siapa kita, pekerjaan dan pangkat, semua menjalani ibadah puasa dengan penuh ketakwaan demi mengejar pahala di bulan yang penuh berakah ini.

Majlis yang berlangsung dengan penuh kesederhanaan ini telah bermula sejak pukul 10.00 pagi dengan agenda gotong-royong. Acara gotong-royong ini mengumpulkan semangat bekerjasama antara Sahabat AIM Cawangan Besut, kakitangan cawangan, kakitangan ibu pejabat dan beberapa orang anak angkat program WISE menyediakan juadah berbuka untuk semua tetamu yang hadir. Gandingan 2 kerjasama ini menghasilkan juadah yang enak seperti gulai kawah dan kerabu tauge bagi iftar Ramadan. 
Majlis ini cukup bermakna bagi semua tetamu yang hadir kerana kesudian tetamu kehormat, YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan dan Pengajian Tinggi II menyerikan majlis. YB Menteri menyampaikan ucapan penghargaan kepada Sahabat dan juga AIM sendiri. Usaha yang dilakukan AIM telah menggabungkan dan memberi pendedahan dunia keusahawanan kepada mahasiswa. YB Dato’ Seri Idris turut menggesa semua Sahabat AIM menjalankan perniagaan dengan jujur dan menjadi peminjam yang terbaik di dunia.

YB Menteri berkesempatan menyampaikan sijil penghargaan kepada Sahabat AIM yang merupakan ibu angkat bagi program WISE. Turut mengiringi YB Menteri ialah Datuk Hajah Zabidah Ismail, Pengarah Urusan AIM dan Datuk Seri Ir. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha II, Kementerian Pendidikan Malaysia. Bagi peringkat negeri Terengganu, ia diwakili oleh Sahabat Kamariah Husin, AIM Cawangan Besut; Amirah Abd Rahman, AIM Cawangan Kuala Terengganu 1; Lydia @ Idayu Yaacob, Program Kewangan Mikro Bandar Terengganu dan Suzila Muda, AIM Cawangan Kuala Terengganu 2. Manakala bagi AIM Wilayah Kelantan, sijil penghargaan disampaikan kepada Zahrah Yaakob, AIM Cawangan Kuala Krai; Shahidah Hasan, AIM Cawangan Tumpat dan Rozilawati Nawi, AIM Cawangan Kota Bharu.

Majlis yang berlangsung di Dewan As-Syafie ini turut menyaksikan penyampaian zakat kepada 20 orang Sahabat AIM Cawangan Besut. Zakat ini merupakan sumbangan Bizpartner, Koperasi Mahasiswa, Etiqa Takaful dan beberapa organisasi lain. YB Menteri Pendidikan turut berbesar hati menyampaikan sumbangan duit raya kepada 30 pelajar Sekolah Menengah Kuala Besut ini. Majlis yang dihadiri oleh 350 mahasiswa yang terlibat dalam program WISE iaitu UNISZA, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun serta Machang dan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah diiringi oleh wakil-wakil dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) terlibat. Tahlil, Iftar Ramadan dan solat Terawih telah menutup tirai majlis ini. Ribuan terima kasih kepada warga kerja AIM Wilayah Terengganu yang diketuai oleh Pengurus Wilayah, Encik Pakharuddin Hamzah, AIM Cawangan Besut, Pegawai Eksekutif Usahawan Wilayah Terengganu dan Kelantan, Dr. Mohd Azlan Yahya, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan semua Sahabat AIM yang terlibat secara langsung menjayakan majlis ini. AIM turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengetua Sekolah Menengah Kuala Besut, Besut, Terengganu.

Carian Laman

Maklumat & Informasi

Logo baru AIM: