Majlis Pelancaran Kelab Usahawan Sahabat Ikhtiar Melaka (KUSIM) Dan Ceramah Keusahawanan

IMG 0246
Perkarangan Muzium Hang Tuah, Duyong Melaka meriah dengan kehadiran tetamu dan SAHABAT untuk pelancaran Kelab Usahawan SAHABAT Ikhtiar Melaka (KUSIM). Majlis yang bermula pada pagi 16 November dihadiri hampir 500 orang.

Pada sebelah pagi pengunjung dihidangkan dengan ceramah keusahawanan oleh Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Al-Fadhil Ustaz Nor Azamir bin Alias. Selain dimeriahkan dengan gerai-gerai SAHABAT yang berniaga di sekitar kawasan muzium, pengunjung juga dapat merasai suasana zaman kegemilangan kesultanan Melaka dengan pameran dan persekitaran kawasan yang menyerupai perkampungan melayu lama.

Upacara dimulakan dengan ucapan pengerusi KUSIM, Puan Rogayah bt Mat Ali dan diikuti dengan ucapan Ketua Zon Selatan, Puan Rozita binti Muhamad. Penaung KUSIM, Senator Tan Sri Hj Mohd Ali bin Mohd Rustam kemudian meneruskan ucapan perasmian serta pelancaran skuad sukarelawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Melaka. Dalam ucapannya, beliau memberi penghargaan kepada AIM kerana meneruskan usaha dalam membantu golongan miskin di negeri Melaka. Malah menurut beliau, golongan berniaga ini harus dibantu kerana merupakan satu sunnah nabi dan menyarankan SAHABAT-SAHABAT untuk meningkatkan ilmu dalam keusahawanan sekaligus dapat meningkatkan pendapatan.

Menurut Pengurus Kanan Pembangunan Ekosistem Zon Selatan Encik Ruslan bin Mohamad, Skuad Sukarelawan AIM Melaka ini merupakan yang pertama di Malaysia dengan keahlian seramai 20 orang untuk permulaan. Penubuhan ini selaras dengan misi AIM yang ke-7 dengan objektif untuk membantu SAHABAT yang ditimpa bencana. Skuad ini juga sebahagian dari aktiviti CSR (Corporate Social Responsibility).

Program juga dimeriahkan dengan aktiviti sukan dan riadah untuk para pengunjung. Majlis tamat kira-kira jam 5 petang. Galeri
Berita & Gambar oleh: Gafur Majid

Carian Laman

Maklumat & Informasi

Logo baru AIM: