Majlis Himpunan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Sg Besar Bersama YAB Timbalan Perdana Menteri

5 Jun 2016 – Bertempat di SJK (C) Sin Min, Sungai Besar, satu majlis yang menghimpunkan Sahabat-sahabat AIM Sungai Besar telah diadakan.

 

Majlis ini diadakan bertujuan untuk memberi ruang kepada Sahabat-sahabat AIM beramah mesra dengan kepimpinan tertinggi Kerajaan selain menjadi platform pelancaran Kelab Usahawan dan Kesukarelawan Sungai Besar dan penyampaian sumbangan kepada Sahabat-sahabat sempena Ramadhan Al-Mubarak.

 

Perasmian majlis dan pelancaran kelab telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Majlis turut dihadiri oleh YAB Datuk Seri Ir. Hj. Idris Hj. Haron, Ketua Menteri Melaka, YB Tan Sri Haji Noh Omar, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Dr. Zubir Harun, Pengerusi Eksekutif AIM serta Datuk Haji Yusoff HM Haniff, Ahli Lembaga AIM.

 

Dalam ucapan YAB Timbalan Perdana Menteri, beliau mengucapkan tahniah kepada warga AIM di atas kejayaan mengharumkan nama negara dengan menerima anugerah 3G Women Empowerment Awards anjuran Cambridge IF Analytica baru-baru ini selain pengiktirafan antarabangsa sebagai Best Islamic Microfinance Institution 2013 -2015, Global Islamic Awards.

 

Beliau juga turut memuji inisiatif AIM mewujudkan Kelab Usahawan Ikhtiar Cawangan dan Kesukarelawan (KUICK) di seluruh negara dan seterusnya turut mengumumkan pemberian peruntukan khas berjumlah RM100,000.00 untuk Kelab Usahawan & Kesukarelawan Sungai Besar.

 

Dalam majlis ini, YAB Timbalan Perdana Menteri turut berbesar hati menyempurnakan penyampaian cek peruntukan dana pembiayaan AIM untuk kawasan Sungai Besar bagi tahun 2016 berjumlah RM10,578,000.00. Selain itu, sebanyak 13 anugerah di bawah 4 kategori (Sahabat Berjaya, Sahabat Harapan, Sahabat Warga Emas dan Sahabat Setia) telah disampaikan kepada Sahabat-sahabat. Penganugerahan ini diberikan kepada Sahabat-sahabat sebagai suntikan semangat untuk terus berjaya dalam apa jua bidang perniagaan yang diusahakan serta menyemai kesetiaan Sahabat dengan AIM.

Carian Laman

Maklumat & Informasi

Logo baru AIM: