MAJLIS ANUGERAH PENGIKTIRAFAN SAHABAT AMANAH IKHTIAR MALAYSIA

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Tumpat telah mengadakan Majlis Anugerah Pengiktirafan Sahabat AIM bagi mengiktiraf kecemerlangan dan menghargai peminjam (Sahabat) khususnya di DUN Pengkalan Kubor. Ia juga sebagai rangsangan kepada Sahabat untuk terus berdaya saing dalam perniagaan melalui pembiayaan mikro dan disiplin kredit AIM. Perasmian majlis disempurnakan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan turut dihadiri oleh YB Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, YB Tan Sri Annuar bin Musa, Ahli Parlimen Ketereh, YBhg. Dr. Zubir bin Harun, Pengerusi Lembaga AIM, serta Ahli Lembaga AIM iaitu YBhg. Datuk Haji Yusoff HM Haniff dan Tn. Haji Mohamad Shahaimi Othman.

YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan beliau turut mengumumkan penyaluran dana sebanyak RM300,000 untuk Kelab Usahawan Sahabat bagi 30 pusat AIM di kawasan Pengkalan Kubor. Dana ini akan digunakan bagi membiayai pembelian peralatan seperti khemah, kerusi dan kipas untuk dimanfaatkan oleh kelab bagi pelbagai aktiviti.

Dalam majlis ini seramai 25 penerima yang terdiri daripada Sahabat dan Ketua Pusat (yang mewakili pusat masing-masing) menerima pengiktirafan dalam 9 kategori yang disediakan merangkumi skop disiplin kredit, kerjasama, kesetiaan dan kejayaan di dalam bidang masing-masing. Selain itu, AIM turut menyerahkan sumbangan daripada manfaat Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) berjumlah RM10,000.00 kepada Sahabat Zaharah binti Awang daripada Cawangan Tumpat yang mengalami musibah kebakaran rumah baru-baru ini.

Diharapkan melalui majlis ini, ia bukan sahaja dapat menyuntik semangat Sahabat untuk berjaya di masa hadapan malah akan menjadi platform terbaik dalam meningkatkan ukhwah di kalangan kepimpinan tertinggi Kerajaan, pemimpin masyarakat, pengurusan AIM dan Sahabat-sahabat khususnya di DUN Pengkalan Kubor.
Berita oleh : Mohamad Aizuddin Sabarudin

Carian Laman

Maklumat & Informasi

Logo baru AIM: