Lawatan Peserta Antarabangsa: Sustainable Rural Development and Poverty Alleviation (The Malaysian Experience), Institut Kemajuan Desa (INFRA)

Pada 14 November 2013 (10 Muharam 1435H), Amanah Ikhtiar Malaysia telah menerima lawatan yang dihadiri peserta dari negara Filipina dalam rangka Kursus Antarabangsa: Sustainable Rural Development and Poverty Alleviation (The Malaysian Experience) anjuran Institut Kemajuan Desa (INFRA).

Para peserta seramai 24 orang terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan dari negara Filipina diiringi pegawai INFRA, termasuk Dato’ Mohamad Tajudin Bakar selaku pembimbing kursus. Objektif lawatan ini adalah untuk memberikan pendedahan langsung dan taklimat mengenai program-program keusahawanan AIM dalam usaha pembasmian kemiskinan selaras dengan usaha-usaha Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Para peserta dialu-alukan YBhg Datuk Hajah Zabidah Ismail, Pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia seterusnya diberikan taklimat oleh Puan Nor Fazidah Kadri, Pengarah Komunikasi dan Pembangunan Korporat di Menara Amanah Ikhtiar. Mereka kemudian dibawa melawat tiga projek Sahabat Ikhtiar di sekitar Kuala Selangor.

Projek-projek Sahabat yang dilawat termasuk Projek Sahabat Makanan Sejuk Beku yang diterajui Puan Rosmah Abd Rahman di Kuang, Restoran Seri Pattani milik Puan Shazalina Abu Bakar di Saujana Utama dan Pusat Transformasi Jahitan di bawah seliaan Unit Pembangunan Usahawan AIM di Tanjung Karang. Para peserta berpeluang melihat sendiri cara-cara pengurusan dan kendalian operasi dalam pengeluaran kuih-muih sejuk beku, pengurusan restoran dan pengeluaran baju kurung di ketiga-tiga projek terlibat.

Puan Rosmah Abd Rahman, pemilik Projek Sahabat Makanan Sejuk Beku memulakan perniagaan kuih-muih pada tahun 2006 dengan modal sebanyak RM3,000. Dari dua jenis kuih pada peringkat awal perniagaannya, kini Puan Rosmah menyediakan sepuluh jenis kuih yang dipasarkan di kedai-kedai berhampiran di Lembah Klang. Para pekerja Puan Rosmah terdiri daripada kaum keluarga dan jiran-jiran yang juga dari kalangan Sahabat AIM.

Restoran Seri Pattani milik Puan Shazalina Abu Bakar merupakan peserta program transformasi perniagaan restoran di bawah program pembangunan usahawan AIM. Restoran ini telah dirasmikan YBhg Datuk Hajah Zabidah Ismail, Pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia pada 13 November 2013. Dengan bantuan pembiayaan AIM, Puan Shazalina memajukan lagi perniagaannya dengan membuka restoran di Saujana Utama. Jualan kasar sehari restoran ini boleh mencecah RM2,500.

Program Transformasi Jahitan adalah sebuah kolaborasi yang melibatkan Unit Pembangunan Usahawan AIM, Accounting Research Institute dari UiTM, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS Zakat) dan Mydin Sdn Bhd. Pusat Transformasi Jahitan di Tanjung Karang merupakan prototaip pegeluaran produk jahitan dalam industri kecil sederhana (IKS) yang akan dikembangkan ke seluruh Semenanjung Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak. Puan Nor Riza Mohd Nor merupakan penyelia bengkel yang menyelia sembilan orang Sahabat di dalam program tersebut.

Diharap para peserta dapat memahami bagaimana institusi kewangan mikro di Malaysia diuruskan dari lawatan ke projek-projek Sahabat Ikhtiar. Pengalaman ini juga boleh dikongsi dan dilaksanakan dalam senario ekonomi yang bersesuaian di Filipina.

{gallery}lawataninfra141113{/gallery}

Carian Laman

Maklumat & Informasi

Logo baru AIM: