KERJASAMA AIM-MAYBANK IB PERUNTUK AGIHAN RM 1 JUTA KEPADA USAHAWAN PKS

IMG 0050
Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bakal menerima dana berjumlah RM1 juta bagi membantu usahawan Malaysia memajukan perniagaan yang dimiliki. Dana ini diperuntukkan melalui program khas yang dikenali sebagai Trade [& Give] yang mana setiap Sahabat terpilih akan diberikan jumlah maksimum RM 20,000.

Dana berjumlah RM1 juta ini adalah bagi tahun kewangan semasa dan akan menjadi permulaan untuk membantu usahawan kecil membina perniagaan menjadi sebuah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdaya maju dan sterusnya berpotensi menjadi sebuah syarikat senaraian awam.

Memandangkan program ini merupakan program sulung yang diadakan oleh Maybank Investment Bank (IB), malah yang pertama antara bank-bank di Malaysia, Maybank IB dan AIM bersetuju memulakan program ini dengan kumpulan kecil terlebih dahulu. Hanya enam orang Sahabat dahulu yang akan dipilih dan akan mendapat layanan secara terus daripada Maybank IB.

Pengumuman ini dibuat ketika majlis pelancaran yang telah diadakan di Bursa Malaysia pada 13 Oktober 2014. Pelancaran inisiatif Trade [& Give] disempurnakan oleh Pengerusi AIM, Dr. Zubir Harun, Pengarah Urusan AIM, Encik Norsharizal Mashahrin, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Tajuddin Atan serta Ketua Pegawai Eksekutif Maybank IB, John Chong.

Sahabat yang terpilih akan menerima pakej latihan dan rundingan serta akses yang lebih luas kepada pasaran. Selain itu, para Sahabat akan mendapat mentor yang dikenali sebagai “Rakan Maybank” yang akan membantu mereka dalam pelbagai aspek perniagaan seperti pemasaran, pembungkusan, penggunaan teknologi seiring perkembangan semasa dan banyak lagi.

Bagi peringkat permulaan ini, kesemua perniagaan yang dimiliki oleh keenam-enam Sahabat ini boleh diakses secara terus melalui laman sesawang Bursa Market Place. Ini bermakna perniagaan para Sahabat boleh dilihat oleh semua bank atau organisasi besar yang tersenarai di Bursa Malaysia. Manfaatnya, Sahabat akan dihubungi terus oleh mereka yang berminat, tanpa melibatkan pihak ketiga.

Kumpulan pertama penerima dana ini dipilih menerusi penilaian ketat termasuk jenis perniagaan, skala perniagaan, prospek, usaha serta nilai. Kesemua kriteria ini adalah persetujuan yang telah ditetapkan secara bersama antara Maybank IB dan AIM. Jumlah peserta dijangka meningkat kepada 20 Sahabat bagi tahun 2014. Galeri
Berita oleh: Nurul Izwanie binti Hashim