Kemuncak Program Ihya' Ramadhan: Iftar Jamaei 1434H

Disediakan oleh : Saipul Nizam Mat

Program Penghayatan (Ihya’) Ramadhan adalah satu program pembangunan sahsiah yang dianjurkan oleh Pusat Latihan (PLAT) pada setiap tahun dengan aktiviti utamanya adalah ceramah agama , tadarus al quran, iftar jamaie dan lainlain amalan sunat. Pada tahun 2013 , PLAT bekerjasama dengan Unit Komunikasi Korporat (UKK) dan Unit Zakat, Waqaf dan Infaq (UZWI) telah meneruskan tradisi pelaksanaan Program Penghayatan (Ihya’) Ramadhan dengan mengadakan aktiviti kerohanian yang melibatkan masyarakat luar.

Antara pengisian Program Ihya’ Ramadhan tahun 2013 adalah Tadarus Al- Quran di mana semua kakitangan di setiap pejabat Wilayah dan cawangan diperuntukkan masa untuk bertadarus al-quran. Selain itu, Tabung Ihya’ Ramadhan juga telah dilancarkan oleh UZWI bagi menggalakkan kakitangan bersedekah / berinfaq bagi ganjaran berlipat ganda sempena Ramadhan Al-Mubarak ini. Hasil kutipan ini akan diserahkan kepada golongan fakir miskin, orang tua dan anak-anak yatim.

Majlis Iftar Jamaie melibatkan semua kakitangan berbuka puasa bersama-sama dengan golongan orang-orang tua atau anak-anak yatim terpilih dan seterusnya menyampaikan sumbangan melalui sedekah atau infaq yang telah diperolehi daripada Tabung Ihya’ Ramadhan. Antara pertubuhan yang diraikan adalah di Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras Selangor, Markas Al-Aitam, Pusat Ilmu, Tarbiyah, Penjagaan dan Penginapan Pasir Putih Kelantan, PERKAYA Terengganu dan Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Nurul Ihsan, Sungai Siput Perak.

Pada 29 Julai 2013 bertempat di Menara Amanah Ikhtiar, Program Ihya’ Ramadhan: Iftar Jamaei telah diadakan bagi peringkat Ibu Pejabat dan merupakan program kemuncak bagi program tersebut. Majlis yang dihadiri oleh Pengarah Urusan AIM, YBhg Datuk Hajah Zabidah Ismail, Hajah Normi Nordin, Ahli Lembaga AIM, Prof. Dr Abdul Rahim Abd Rahman, Ahli Panel Syariah AIM serta Pengurusan Kanan AIM.

Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran penghuni Rumah Anak Yatim dan Tahfiz Al Habbah dan Rumah Raudhatul Al Faeez seramai 65 orang.

Majlis seawal 3:30 petang, dimulakan dengan Ceramah Penghayatan Ramadhan yang bertajuk “Penghayatan Ramadhan dan Persediaan Menyambut Syawal Mengikut Syarak” yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Elyas Ismail, Senior Trainer daripada Syarikat Eclass Training Centre Sdn. Bhd.

Pengarah Urusan AIM, YBhg Datuk Hajah Zabidah Ismail di dalam amanat pengurusannya, memperkatakan mengenai bulan Ramadhan adalah 'Bulan Tarbiyah' (bulan didikan) yang mana melaluinya, seseorang Muslim itu seharusnya terdidik imannya, jiwanya dan peribadinya. Beliau turut mengingatkan kepada semua kakitangan agar bekerja dengan niat yang ikhlas dan diterjemahkan dengan tidak mencuri masa bekerja dengan hal-hal yang tidak sepatutnya dilakukan atau melaksanakan tanggungjawab atau sesuatu kerja yang diamanahkan dengan sambil lewa.

Sebelum majlis berbuka puasa, pengurusan dan penghuni Rumah Anak Yatim dan Tahfiz Al Habbah dan Rumah Raudhatul Al Faeez diberikan sumbangan berserta cenderahati yang disempurnakan oleh YBhg Datuk Hajah Zabidah serta Pengurusan Kanan AIM.

Majlis diakhiri pada 10:00 malam selepas Solat Terawih berjamaah dan moreh.Adalah diharapkan agar program ini dapat memberikan peluang kepada kakitangan untuk turut menyumbang tenaga dan wang dalam program kemasyarakatan sempena bulan penuh keberkatan.

MAJLIS DI RUMAH KASIH HARMONI, PAYA JARAS SELANGOR
{gallery}iftarjamaei2013payajaras{/gallery}

MAJLIS MERAIKAN PERKAYA TERENGGANU DI HOTEL PERMAI INN KUALA TERENGGANU
{gallery}iftarjamaei2013kt{/gallery}

MAJLIS DI PERSATUAN KEBAJIKAN ANAK YATIM NURUL IHSAN, SUNGAI SIPUT, PERAK
{gallery}iftarjamaei2013sgsiput{/gallery}

MAJLIS DI MARKAS AL-AITAM, PUSAT ILMU, TARBIYAH, PENJAGAAN DAN PENGINAPAN PASIR PUTIH , KELANTAN
{gallery}iftarjamaei2013pasirputih{/gallery}

MAJLIS DI IBU PEJABAT AIM
{gallery}iftarjamaei2013hq{/gallery}


Carian Laman

Maklumat & Informasi

Logo baru AIM: