Kelab Usahawan Ikhtiar Permatang Pauh Terima Dana RM 100K

Permatang Pauh, 9 Ogos - Kelab Usahawan Ikhtiar Permatang Pauh (KUIPP) telah menerima dana berjumlah RM 100,000 daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pulau Pinang, hasil usaha dan perbincangan yang telah dibuat oleh Pengerusi Lembaga AIM, YBhg Dr. Zubir Harun. Dana tersebut dijadikan modal pusingan KUIPP dengan keahlian seramai 703 orang yang terdiri daripada Sahabat AIM sekitar Permatang Pauh. Penyerahan cek tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga AIM sendiri bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Sama Gagah. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah En. Yaacob Omar, Pengarah Bahagian Perhubungan Korporat dan Kesejahteraan, En. Che Mahdi Idris, Ketua Pegawai Operasi Zon Utara serta Pn. Salina Jaafar, Pengurus Wilayah Kedah Selatan.


KUIPP sebagai pusat sehenti 

KUIPP ditubuhkan bertujuan membentuk sebuah jaringan perniagaan untuk membantu menambahkan pendapatan sampingan kepada setiap ahli yang terlibat. Menurut Pengerusi KUIPP, Pn. Haslina Abu Bakar dalam ucapan aluannya KUIPP diharapkan juga akan menjadi sebuah pusat sehenti untuk pemasaran produk keluaran Sahabat-sahabat AIM.

Hasil cetusan idea Pengerusi Lembaga AIM berhubung penubuhan kelab usahawan ini telah diterima pakai oleh kesemua Sahabat AIM di Malaysia dan kini hampir setiap Cawangan AIM mempunyai Kelab Usahawan masing-masing dengan pelbagai jenis perniagaan yang telah diceburi. Sehingga kini sebanyak 33 Kelab Usahawan telah ditubuhkan dan diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi Zon Utara sahaja.

KUIPP diurus dengan jujur, adil dan amanah 

Dalam ucapan perasmian oleh Pengerusi Lembaga AIM pada majlis penyerahan dana tersebut, beliau berharap dengan adanya dana ini dapatlah dijadikan modal permulaan KUIPP untuk terus bergerak aktif membina empayar perniagaan ke peringat yang lebih tinggi lagi. Beliau juga menasihatkan supaya pengurusan KUIPP diuruskan dengan jujur, adil dan amanah bagi memastikan kejayaan penubuhan KUIPP itu sendiri. 

Pada majlis yang sama, KUIPP juga mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri kepada semua ahli dengan hidangan juadah yang pelbagai dan menarik. Majlis berakhir sekitar jam 5.00 petang.

Oleh Tajul Asrul Syah Mohktar