Jalinan Kerjasama AIM Dan PUNB Beri Manfaat Kepada 20 Sahabat

Seramai 20 sahabat daripada empat cawangan terpilih telah menerima sumbangan RM3,000 setiap seorang pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang diadakan pada 4 Oktober yang lalu.

Majlis tersebut adalah merupakan penyerahan zakat kali kedua. Penyerahan zakat PUNB kali pertama kepada sahabat-sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah dilaksanakan pada tahun 2012.

Sahabat-sahabat yang menerima zakat pada kali ini terdiri daripada enam orang sahabat AIM Cawangan Kepong, lima orang sahabat AIM Cawangan Gombak, empat orang sahabat AIM Cawangan Ampang, dan lima orang sahabat AIM Cawangan Rembau. Mereka ini telah dikenalpasti layak untuk menerima sumbangan zakat menerusi Unit Zakat, Wakaf dan Infaq (UZWI) AIM.

UZWI merupakan sebuah unit yang ditubuhkan untuk merealisasikan mandat dan cita-cita yang dihasratkan oleh pihak Lembaga dan Pengurusan AIM dalam menzahirkan perkhidmatan baru menyuburkan amalan berzakat, wakaf dan infaq.

Sumbangan daripada pihak PUNB ini adalah di atas dasar kepercayaan dan penghargaan mereka terhadap sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh AIM selama ini.

Kerjasama ini dapat menjadi pemangkin ke arah merealisasikan hasrat kedua-dua organisasi untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing. Diharapkan zakat yang diberi dimanfaatkan sebaiknya oleh sahabat dalam meningkatkan pendapatan dan taraf hidup isirumah masing-masing. Selain itu, jalinan kerjasama ini adalah bertujuan membuka ruang kepada badan-badan korporat yang lain untuk menunaikan tanggungjawab sosial masing-masing.

Majlis yang berlangsung di Menara Amanah Ikhtiar, Kuala Lumpur ini dimeriahkan dengan kehadiran 110 tetamu, termasuk Pengarah Urusan AIM, Datuk Hajah Zabidah Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Encik Dzulkifli Fadzilah, kakitangan daripada PUNB dan AIM serta media.

Disediakan oleh: Nurul Izwanie Hashim

Carian Laman

Maklumat & Informasi

Logo baru AIM: