Bengkel Kesedaran Pengurusan Risiko Zon Utara

Bengkel Kesedaran Pengurusan Risiko telah diadakan di Hotel Seri Malaysia Alor Setar pada 19 - 20 Februari 2014. Bengkel ini dianjurkan oleh Unit Pengurusan Risiko dan Pematuhan (UPRP) dengan melibatkan Ketua Zon Utara, Pengurusan Wilayah dan juga Pengurus-Pengurus cawangan bagi wilayah Kedah dan Perak. Turut hadir pada bengkel ini ialah Encik Shahrizal Mashahrin, Pengarah Urusan AIM, Puan Nor Fazidah Kadri, Pengarah Bahagian Pengurusan Risiko dan Pembangunan Korporat, Encik Jahinin Siman, Pengurus Kanan Unit Pengurusan Risiko dan Pematuhan.

Objektif Bengkel Kesedaran Pengurusan Risiko adalah :
i)    Memberi kefahaman dan kemahiran berkaitan penilaian risiko serta proses melaksanakan analisis risiko.
ii)   Memberi kefahaman untuk merangka, melaksana dan memantau pelan pengurusan risiko.
iii)  Mendedahkan para peserta bengkel dengan definisi terminologi dan proses-proses utama dalam pengurusan risiko.
iv)  Mendapatkan senarai risiko bersih yang telah dipersetujui oleh pemilik risiko.

Bengkel ini telah dirasmikan oleh Encik Shahrizal Mashahrin, Pengarah Urusan AIM merangkap Pengerusi Majlis Penasihat Pengurusan Risiko dan Bencana (MPRB). Pada bengkel ini, kesemua peserta didedahkan dengan teknik dan metodologi dalam mengenalpasti, menganalisa, menilai dan mengendali risiko. Kaedah Pelaksanaan bengkel kesedaran ini melibatkan 3 kaedah iaitu:

a) Penerangan
Pihak UPRP akan bertindak selaku fasilitator dengan memberi penerangan dan pengajaran berkaitan pelaksanaan pengurusan risiko dan teknik dalam mengenalpasti, menganalisa, menilai dan merawat risiko.

b) Perbincangan Kumpulan
Perbincangan ini memerlukan peserta untuk:
i)  Melaksanakan penilaian semula ke atas setiap risiko yang telah disenaraikan.
ii) Setiap peserta juga dikehendaki mengenalpasti risiko baru sekiranya ada.

c) Pembentangan
Peserta – Setiap kumpulan dikehendaki untuk membentangkan setiap risiko yang dinilai.

UPRP – Di akhir bengkel, UPRP akan membentangkan keseluruhan senarai risiko Wilayah Kedah dan seterusnya mendapatkan persetujuan daripada peserta bengkel selaku pemilik risiko Wilayah Kedah.

Pada hari kedua bengkel, YBhg Dr. Zubir Harun selaku Pengerusi Lembaga AIM telah hadir sama ke bengkel tersebut pada sesi pembentangan risiko oleh peserta dan seterusnya beliau memberikan ucapan dasar dalam mendukung Visi dan Misi AIM dan sekaligus melakukan ucapan penutupan Bengkel Kesedaran Pengurusan Risiko.
{gallery alignment=center}bengkelkesedaranrisiko-zonutara{/gallery}
Disediakan oleh: Norbie Wahab / Gambar oleh: Sidek Abd Razak