Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Zon Tengah

15 Ogos 2015, Shah Alam – Hotel Carlton Holiday Shah Alam kali ini menjadi lokasi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2014 bagi Zon Tengah. 

Majlis Anugerah ini melibatkan empat buah wilayah iaitu Selangor/Kuala Lumpur Utara, Selangor/Kuala Lumpur Selatan, Pahang Barat dan Pahang Timur.Majlis yang penuh meriah dengan kehadiran lebih 300 jemputan ini dihadiri oleh Pengerusi Eksekutif AIM, Dr Zubir Harun, Ahli Lembaga AIM  Datuk Haji Yusoff HM Haniff dan Hj Mohamad Shahaimi Bin Othman, Pengarah Bahagian Perhubungan Korporat dan Kesejahteraan En. Yaacob Omar, Ketua Pegawai Operasi Zon Tengah En Faizal Noor Laiman, serta pengurusan tertinggi dari wilayah yang terlibat. 

Seramai 13 individu dan 4 buah cawangan menerima anugerah untuk kali ini. Manakala bagi Anugerah Perdana Zon Tengah untuk 2014 diberikan kepada Penolong Pengurus Wilayah Pahang Timur, Shahfizan bin Hamdan. Majlis dimeriahkan dengan persembahan daripada kakitangan bagi keempat-empat wilayah terlibat. 

Pada sebelah petangnya pula bertempat di Stadium Majlis Sukan Negara Shah Alam, diadakan acara sukan persahabatan di antara Wilayah Selangor/Kuala Lumpur dan Pahang. Acara yang diadakan ialah bola sepak, bola jaring dan badminton. Juara keseluruhan dimenangi oleh Wilayah Selangor/Kuala Lumpur. 

Teks dan Gambar: Gafur Majid