Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013

Disediakan oleh : Sidek Abd Razak

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) peringkat kebangsaan merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Jabatan Sumber Manusia (JSM). Pada tahun ini majlis APC telah diadakan pada 1 Julai 2013 bertempat di Ballroom, Hotel Grand Lexis, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Penganjuran APC pada tahun ini sedikit berbeza jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Bagi anugerah Cawangan Tanpa Portfolio Berisiko (PAR) dan Cawangan Emas (FC) telah dikendalikan di peringkat wilayah, manakala Anugerah Khidmat Cemerlang, Anugerah Perkhidmatan 10 dan 20 tahun dikendalikan oleh JSM di peringkat kebangsaan.

Acara tahunan ini diadakan adalah bagi mengiktirafkan kakitangan yang telah mempamerkan pencapaian yang cemerlang dan seterusnya memberi impak yang besar dalam perkembangan AIM.

Majlis yang dirasmikan oleh YBhg. Datuk Hajah Zabidah Ismail, Pengarah Urusan turut dihadiri oleh YBrs Dr. Zubir Harun, Timbalan Pengerusi Lembaga AIM, Encik Halid Hasbullah Boestamam, Ketua Pegawai Operasi, Encik Norsharizal Masharin, Ketua Pegawai Kewangan dan Encik Ismail Yahya, Presiden KEPAIM serta barisan Pengurusan Kanan AIM. Dalam ucapan aluan, Puan Rozita Muhamad, Pengarah Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran merakamkan penghargaan di atas kehadiran tetamu kehormat yang menyokong program ini dan komitmen sedemikian dapat memberi suntikan semangat kepada kakitangan.

Dalam ucaptama sebagai perasmi, YBhg. Datuk Hajah Zabidah, mengucapkan syabas dan tahniah kepada kakitangan yang menunjukan prestasi cemerlang pada tahun 2012 yang lalu. Kecemerlangan ini bukan sekadar mengharapkan anugerah semata-mata tetapi sebaliknya kecemerlangan perlu dibuktikan secara realistik dari luar dan dalam diri agar ia menjadi lebih bermakna. Sikap positif dan komited ini perlu seiring dengan arus perubahan AIM supaya inisiatif transformasi yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan dapat dicapai dengan lebih sempurna.

Melalui tiga entiti di dalam ekosistem iaitu AIM sebagai badan induk, didokong oleh AIM Sdn. Bhd. dan Koperasi Amanah Ikhtiar Malaysia Bhd., sokongan semua kakitangan dengan memberi sepenuh komitmen adalah sangat penting supaya perlaksanaannya dapat dicapai dengan cemerlang.

Sejurus selepas perasmian, YBhg Datuk Pengarah Urusan turut menyampaikan anugerah kepada 69 kakitangan yang cemerlang, kakitangan mencapai perkhidmatan 10 dan 20 tahun.

Penganugerahan ini diharapkan dapat meningkatkan lagi motivasi dan memberi suntikan semangat kepada semua kakitangan agar bersama-sama memberi sepenuh komitmen agar visi dan misi AIM dapat dicapai.