AIM Melaksanakan Tanggungjawab Membangunkan Masyarakat India

Disediakan oleh : Sidek Abd Razak

IMG 0035

3-4 September 2013, MH Hotel, Kuala Lumpur- Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) melalui Unit India dan Cina (UNIC) telah menganjurkan Program Thanambikai (keyakinan diri). Program ini disertai Sahabat dari AIM Cawangan Kepong dan Cawangan Ampang, dengan kehadiran majority adalah Sahabat India.

Dalam melaksanakan tanggungjawab membantu golongan miskin dan pendapatan rendah di luar bandar dan bandar, AIM telah merangka dan mengambil pelbagai inisiatif untuk manfaat semua sahabat AIM. Program-program yang dirangka ini termasuklah bengkel berbentuk kemahiran, ilmu pengetahuan dan motivasi.

Sejajar dengan hasrat AIM membantu semua golongan tanpa mengira kaum dan agama UNIC telah menganjurkan program berbentuk motivasi iaitu Program Thanambikai. Program ini diadakan untuk memberi pendedahan ilmu pengetahuan dan suntikan semangat dalam membangunkan Sahabat-sahabat kaum India.

Program yang diadakan secara percuma diterima baik oleh semua sahabat. Puan Siti Jamilah Ibrahim dari Pusat Sri Suria Pandan yang mewakili AIM Cawangan Ampang. Menurut beliau yang baru enam bulan menyertai AIM secara tidak langsung memberi peluang yang terbaik kepadanya untuk menghadapi cabaran dalam perkembangan sosio ekonomi pada masa kini.

Program dikelolakan oleh En. Letchumanan Subramaniam daripada D&Y Consultant, program ini merupakan program siri ketujuh penglibatan beliau dalam memberi suntikan semangat dan pendedahan ilmu kepada sahabat-sahabat AIM terutamanya sahabat kaum India di seluruh Malaysia.

Perkongsian pengalaman sahabat berjaya di kalangan sahabat India turut dibentangkan oleh En. Mohd Said Abd Rahman, Penolong Pegawai Kerja yang mewakili UNIC.

Ketika ditemubual, Puan Sumathi Ramasamy daripada Pusat Al Jannah, Air Panas Setapak berkata, beliau amat berpuas hati dengan program seumpama ini kerana dapat mewujudkan peluang jaringan di antara sahabat yang hadir.

Program ini diharapkan dapat memberi impak dalam usaha membangunkan keyakinan diri seterusnya meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat berpendapatan rendah dan miskin terutamanya sahabat-sahabat AIM.