AIM di Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan, Dataran Senawang, Seremban

Pada 17 hingga 19 Januari 2014 (15–17 Rabiulawal 1435H) telah berlangsung Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil peringkat kebangsaan di Dataran Senawang, Seremban, Negeri Sembilan. Sambutan ini dianjurkan bersama oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan kerajaan negeri.
 
Penganjuran sambutan ini bertujuan mengiktiraf sumbangan dan jasa penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara. Selain itu, objektif utama sambutan ini adalah bertujuan mendidik peniaga agar mematuhi etika perniagaan seperti larangan menjual barangan tiruan, pematuhan harga dan kesalahan menjual barangan tamat tarikh luput.

Pelbagai program menarik disediakan sepanjang tempoh sambutan termasuk 150 gerai jualan penjaja seluruh negara, pameran dari badan-badan kerajaan, kuiz pengguna, cabutan bertuah dan pertandingan mencari harta karun. AIM telah diberikan satu ruang pameran serta satu tapak untuk lori Sahabat Ikhtiar di mana produk Sahabat (kerepek bawang, kerepek pisang dan rempeyek) dipamerkan untuk dijual kepada para pengunjung.

Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan majlis sambutan pada hari Sabtu 18 Januari 2014. Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, Datuk Ramli Norani.

Dalam ucapannya, YAB Datuk Seri Najib berharap para penjaja dan peniaga kecil akan sentiasa mencari jalan untuk maju ke hadapan serta tidak mengenal erti putus asa. Beliau turut memetik kisah kejayaan seorang peniaga wanita di Pasir Mas, Kelantan, yang mendapat bantuan daripada AIM sebanyak RM3,000 untuk memulakan perniagaan menjual ayam. Wanita berkenaan gigih berusaha dan kini memiliki tiga kereta mewah. Tambah YAB Datuk Seri Najib lagi, kerajaan bersikap adil dengan memberi peluang kepada semua pihak berniaga secara kecil-kecilan, termasuk kakitangan perkhidmatan awam.

Beliau kemudian dibawa melawat gerai-gerai jualan dan pameran yang disediakan.

{gallery aligment=center}sambutanharipenjajadanpeniagakecilseremban{/gallery}