AIM di Majlis Anugerah KLIFF 2013

Disediakan oleh: Mohd Safuan Ismail

Pada 24 September 2013, bertempat di Mahkota Grand Ballroom, Hotel Istana Kuala Lumpur berlangsungnya 10th Kuala Lumpur Islamic Finance Forum (KLIFF 2013).

KLIFF 2013 merupakan satu landasan bagi menggalakkan dialog sistem kewangan Islam di kalangan peserta-peserta yang terdiri daripada agensi perbankan di Malaysia dan seluruh dunia. Penekanan utama adalah ke arah menggalakkan pembangunan yang teratur, cekap, berdaya saing, kewangan Islam yang kukuh dan berinovatif dalam persekitaran global yang semakin pesat berkembang.

Justeru itu, Anugerah KLIFF 2013 yang diperkenalkan sejak tahun 2004 bertujuan untuk menghormati, mengiktiraf dan memperakui usaha dan sumbangan oleh individu dan institusi dalam membangunkan industri kewangan Islam. Lebih daripada 15 kategori anugerah telah disediakan. Antaranya Most Outstanding Contribution to Islamic Finance, Most Outstanding Islamic Finance Institutions, Most Outstanding Islamic Finance Product dan lain-lain lagi.

AIM merupakan salah satu agensi dan organisasi yang dijemput untuk turut serta memberi sokongan dan meraikan penerima-penerima anugerah pada malam tersebut. AIM diwakili oleh Datuk Hajah Zabidah Ismail, Pengarah Urusan; En. Norsharizal Mashahrin, Ketua Pegawai Kewangan; En. Yaacob Omar, Pengarah Pembiayaan serta beberapa orang pegawai.

Anugerah-anugerah telah disampaikan oleh tetamu kehormat iaitu YB Senator Dato’ Sri Abdul Wahid Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Antara penerima anugerah utama ialah CIMB Islamic, Anugerah Bank Islam Paling Cemerlang, AmInvestment Bank Berhad yang menerima Anugerah Bank Pelaburan Islam Paling Cemerlang, manakala Bank Rakyat, menerima Anugerah Bank Peruncitan Islam Paling Cemerlang.

Anugerah Perdana iaitu Lifetime Leadership Award in Islamic Finance telah dianugerahkan kepada Y.Bhg. Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

YB Senator Dato’ Menteri dalam ucapannya menekankan tentang perlunya kerjasama dan menjalinkan hubungan yang baik sesama agensi dalam merebut peluang dalam pengurusan aset Islam yang besar di seluruh dunia.

Beliau juga berkata, kerjasama dan peluang dalam meneroka pengurusan aset ini merupakan langkah paling berkesan untuk terus bergerak ke hadapan dan mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak.

Beliau berkeyakinan bahawa para pengurus aset tempatan mempunyai kedudukan nilai yang amat ketara untuk menjalin satu perikatan menarik kepada rakan kerjasama asing.

Semoga majlis anugerah ini akan menjadi pendorong kepada semua warga kerja AIM untuk terus memberi komitmen dan bertanggungjawab bagi menjayakan motto “Kesempurnaan Kualiti Kecemerlangan Organisasi”.

Carian Laman

Maklumat & Informasi

Logo baru AIM: